Sunday, August 17, 2008

Persiapan perjalanan kerohanian...Semoga diriku, mama dan dik d diberikan hati yang tabah dan sabar..


Persiapan perjalanan kerohanian

Jemaah mesti bersih hati, peribadi dengan ilmu sebelum jejak kaki ke Tanah Suci

PERJALANAN mengerjakan haji atau umrah ke Tanah Suci tidak sama dengan perjalanan ke mana-mana destinasi di dunia ini. Bukan saja kerana buminya yang penuh berkat atau di sana ada Baitullah dan bersemadinya jasad Rasulullah SAW, tetapi kerana ia pengembaraan kerohanian.

Ia perjalanan yang jauh lebih agung, lebih getir dan beranjau daripada perjalanan fizikal kerana kita bukan sekadar membawa badan (jasad), malah membawa hati (rohani) untuk tunduk serta patuh kepada Allah.

Sebaik saja kaki kita mula melangkah keluar daripada rumah untuk ke Tanah Suci, beriringan dengan doa dan air mata keluarga serta sanak saudara, lidah mula memuji-Nya sambil hati merintih memohon keampunan, pertolongan dan kasih sayang daripada-Nya. Itulah tanda hati atau rohani kita mula mengembara menuju kepada Allah.

Pengembaraan ini bukan perjalanan selesa dengan harapan segala kemudahan sudah disediakan untuk kita. Ia juga bukan perjalanan untuk bergembira dan bersuka ria. Ia adalah perjalanan menuntut pengorbanan, menagih keringat dan meruntun perasaan, kembara seorang hamba menuju kepada Tuhannya.

Mengembara ke Tanah Suci mesti dimulai dengan niat ikhlas dan hati suci lagi bersih. Hati bersalut dengan iman dan takwa serta dihiasi segala sifat mulia (mahmudah) antaranya, tenang, sabar, bertolak ansur, merendah diri, murah hati, baik sangka, syukur, reda dan tawakal.

Setiap pengembara, persiapan pengembaraan yang penting ini memerlukan persediaan fizikal dan mental. Antara senarai persiapan yang sering dibincang dan diperingatkan oleh ulama ialah:

  • Niat yang ikhlas
  • Persiapan ilmu yang cukup
  • Bertaubat dari segala dosa
  • Mendapat keredaan ibu bapa, keluarga dan guru
  • Menyemak semula punca perbelanjaan
  • Mendapatkan teman dan rakan yang selayak

    Cuba renungkan, contoh yang jelas ketika musim cuti sekolah baru-baru ini kita sibuk merancang program, bekalan itu dan ini bagi memenuhi keperluan percutian atau perjalanan pulang ke kampung dengan baik dan sempurna.

    Adakah kita hanya memandang ringan saja pengembaraan suci ini. Pernahkah terfikir, bagaimana persiapan pasukan pendaki Everest negara yang berjaya mengharungi cabaran pendakian tempoh hari. Berapa lamakah masa diambil untuk sesi latihan? Berapakah pula persiapan kewangan? Hingga ke tahap manakah persiapan latihan fizikal dan mental yang mereka lalui hingga berjaya membuktikan mereka boleh?

    Berbalik kepada persiapan pengembaraan rohani ini, bagaimana persiapan diri dan ilmu kerana matlamat pengembaraan ialah menunaikan ibadat yang ditentukan syarat serta caranya.

    Perlu diingatkan, selain persiapan menghiasi diri dengan sifat mulia, perlu melontar jauh segala sifat keji (mazmumah) seperti pemarah, sombong, mementingkan diri, bangga diri, keluh kesah, bakhil, mengumpat, mengungkit, berbantah dan buruk sangka. Hanya dengan cara ini saja haji kita akan diterima Allah.

    Di Tanah Suci kelak, kita mungkin diuji dengan bermacam ujian oleh Allah. Berdoalah semoga kita tabah menghadapinya dan dianugerah haji mabrur. Inilah darjat tinggi lagi mulia di sisi Allah.

    Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Haji yang mabrur, lebih baik dari dunia dengan isinya dan haji mabrur tiada balasan lain, selain syurga.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

    Haji mabrur tidak diperoleh dengan jalan mudah. Ibarat hendak mendapat kenaikan pangkat, kita akan dinilai. Lebih-lebih lagilah ‘kenaikan pangkat’ di sisi Allah, pasti tidak akan diberi secara percuma tanpa terlebih dulu diuji dengan segala kesusahan dan kepayahan. Setiap manusia akan diuji dengan pengorbanan harta yang banyak, selain terpaksa menempuh perjalanan jauh lagi memeritkan.

    Inilah digambarkan Allah melalui firman-Nya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis unta yang kurus, yang datangnya daripada berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Haj, ayat 27)

    Dalam pengembaraan ini, kita adalah tetamu Allah dan sebagai tetamu-Nya, apakah yang hendak kita persembahkan kepada Allah serta apa pula yang ingin kita mohon daripada-Nya?

  • Ketika mandi dan membersihkan diri sebelum memakai ihram, kita hendaklah berniat membersihkan diri daripada segala dosa.
  • Waktu memasuki kota Makkah, kukuhkan niat untuk menjadikan Allah sebagai satu-satunya tujuan hidup kita.
  • Ketika tawaf mengelilingi Kaabah, hati diniatkan seolah-olah berjalan menuju keredaan Allah.
  • Ketika Sa’ie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah, ibarat antara mengharap pada rahmat Allah dan takut pada azab-Nya.
  • Ketika Wukuf di Arafah pula, hati dibawa dekat dengan-Nya. Dia yang Maha Mengetahui perbuatan dan hati nurani kita.
  • Ketika menuju ke Muzdalifah dan memungut batu di sana, hati berniat untuk membuang jauh segala macam maksiat dan kejahilan.
  • Ketika tangan melontar jamrah, kita hakikatnya melontar musuh turun-temurun iaitu iblis dan sekutunya yang terlaknat.
  • Tatkala rambut dicukur, seolah-olah kita membuang daripada diri kita segala perkara keji dan kita memohon keluar daripada dosa seperti ketika lahir daripada perut ibu.

    Demikianlah seharusnya rohani kita dibawa mengembara. Namun, kita tidak akan mampu melakukannya tanpa petunjuk dan pertolongan Allah. Justeru, kepada-Nya kita memohon petunjuk, perlindungan dan keampunan.

    Sabda Baginda SAW: “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah delegasi Allah. Jika mereka berdoa, nescaya Allah perkenankan doanya itu dan jika mereka memohon ampun, nescaya Allah akan mengampuninya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

    Lalu kepada-Nya kita mengharap, “Ya Allah, iman dan keyakinan kami hanya secubit jika hendak dibandingkan dengan iman dan keyakinan Nabi-Mu Ibrahim. Baginda tabah meninggalkan isteri dan putera kesayangannya di tengah padang pasir yang kering dan tandus semata-mata kerana sangat akur dengan perintah-Mu.”

    “Ya Tuhanku, kecekalan dan tawakal kami tidak setanding dengan kecekalan dan tawakal kekasih-Mu. Jadikanlah perjalanan yang bakal kami tempuh ini benar-benar satu perjalanan yang Engkau reda dan Engkau bantu. Mungkin inilah sekali dalam seumur hidup kami, Engkau rezekikan kami dengan peluang keemasan ini.”

    “Jadikanlah ia sebaik-baik kesempatan yang kami dapat manfaatkan di bumi berkat tempat bersemadi para kekasih-Mu. Pimpinlah kami dan suluhilah laluan kembara kami ini. Amin.

    Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan haji, tidak dirosakkan oleh perbuatan dan perkataan yang kotor, serta tidak membuat maksiat, maka pulangnya seperti hari dia baru dilahirkan (bersih dari dosa).”

    Penulis ialah Pengurus Kanan (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji

  • 2 comments:

    Rizyani said...

    Dear pal,
    semoga mendapat umrah mabrur dan semua doa dimakbulkan Allah. Pray for me too...

    Has_Hashim said...

    Semoga Allah makbulkan cita2 dan impian kita..I will pray for u, dear....